Zupp!
“Kau ni memang tak
serik-serik! Dulu lagi ayah cakap ayah tak suka kau main bola! Tengok sekarang
ni, bahu yang patah ni kau ingat boleh elok balik!?” Ayah waktu itu sudah
seakan-akan singa yang laparkan daging manusia. Wajahnya yang bertukar
kemerahan itu ditambah dengan lentikan misai ala-ala koboi buatkan aku tidak
berani tatap wajah ayah. Kali ini kepala tali pinggang askarnya pula yang
menjadi makanan belakangku. Aku kekal bisu dan kaku. Siapa yang berani melawan tindakan
ayah? Aku relakan sahaja diriku mendengar leteran dan sebatan ayah. Hanya diam
sahaja caranya bila keadaan sudah parah sebegini.
“Aku nak kau ni jadi
askar. Bukan pemain bola! Tak kemana pun kalau jadi pemain bola. Kau tu anak
sulung. Jadilah contoh pada adik-adik! Ini baru patah bahu. Takkan kau nak
tunggu sampai patah semua belulang baru nak berhenti bermain? Fikir masa depan
kau Along!” Leteran ayah yang hampir dua jam itu buatkan aku terpukul. Mungkin
ada benarnya juga omongan ayah itu. Tapi, bola sepak itu minat aku sejak kecil!
Takkan itu juga salah?
Malam itu aku tidak
boleh lelapkan mata. Jam loceng sudah tepat menunjukkan pukul dua pagi. Namun,
sakitnya badan ini Allah sahaja yang mengerti. Sebenarnya aku masih bingung
mengapa ayah bertindak sedemikian. Padahal minat kami pada bola sepak sangat mendalam.
Dia seakan-akan seorang jurulatih professional dan aku adalah pemainnya. Ayah
cukup terkenal di kampungnya dengan gelecekan dan skillnya yang memukau.
Bila sebut sahaja ‘Rahman Libero’, semua orang akan menceritakan
pengalaman mereka melihat kehebatan ayah beraksi di atas padang.
“Kau bila dah besar
nanti, jadi penjaga gol yang tangkas. Bukan macam mamat tu. Main pun macam
longkang! Anak rimau pun boleh tepis bola tu!” Masih lagi aku ingat kata-kata
ayah sewaktu kami menonton bola sepak di stadium suatu masa dahulu. Semangatnya
itulah yang menjadikan aku bertambah minat dengan bola sepak hingga kini.
Sekarang aku jadi
bingung. Bingung dengan sikap mendadak ayah ini. Padahal, dahulu dia yang
menyuruhku menjadi penjaga gol. Malah, kini aku sudahpun terpilih mewakili
negeri dalam MSSN nanti. Apa lagi yang ayah mahu? Tidakkah dia bangga dengan
anaknya ini!?
‘Ah, Persetankan
kata-kata ayah! Aku ingin jadi pemain bola yang terkenal. Biar semua tahu siapa
aku suatu hari nanti! Salahkah kalau aku ingin jadi seperti ayah?’ Hanya monolog
sahaja yang dapat aku luahkan daripada aku bertegang urat dengan ayah dalam
situasi yang sebegini. Luahanku mati. Lenaku tetap tidak tenang kerana bisa
sebatan ayah malam tadi. Minyak gamat yang ibu beri juga tidak mampu
mengurangkan kepedihan hati aku.
***
Pagi itu kurasa kebas. Seluruh tubuhku
seolah-olah digam dengan lekapan yang sangat kuat. Sepertinya, aku tidak boleh
ke sekolah hari ini. Bisa sebatan ayah makin mencucuk-cucuk tubuhku. Tetapi,
ibadah tetap ibadah. Aku gagahkan diri bangun menunaikan solat subuh walaupun
terpaksa duduk. Bahu yang patah ini ditambah dengan bisa sebatan ayah semalam
sangat melemahkan jasadku. Cuma, untuk ke sekolah dalam keadaan begini? Malu!
“Ha! apa lagi yang kau terheeh-hegeh tu?
Cepat bersiap. Ayah nak hantar adik-adik kamu lagi. Jangan sampai aku sebat
lagi sekali!”
“Boleh tak kalau Along tak pergi sekolah
hari ini, ayah? Badan tak boleh nak tegak.”
“Apa! Kau ingat aku hantar kau ke sekolah
untuk tegakkan badan? Aku suruh belajar! Cari ilmu untuk masa depan. Itu
padahnya asyik sangat dengan main bola! Cepat. Aku dah lambat ni!”
Terpaksa jugalah aku bongkokkan diri hari
ini ke sekolah. Walaupun satu sekolah tahu bahuku ini patah, tetapi mereka
tetap ditipu dengan sebatan ayah. Inilah alasanku kepada sahabat-sahabatku yang
lain mengapa aku bongkokkan diri hari ini. Mungkin ini juga salahku kerana
tidak berhati-hati semasa lakukan landing pada hari itu.
Petang itu aku sekadar
melihat jiran-jiran bermain bola di padang di hadapan rumah. Kerancakan mereka
sama sekali tidak boleh memadamkan otakku yang ligat berlari mencari jawapan.
Sesekali, aku membetulkan laras kain yang memangku tanganku. Kali ini, kerusi
batu menjadi penemanku. Mentari senja seolah-olah menangisi kepedihanku.
‘Apa yang aku buat semuanya tak kena! Tapi
adik-adik aku, sikit pun ayah tidak marah. Tampar pun tak pernah, inikan pula
rasa sebatan ayah. Kenapa aku yang selalu jadi mangsa? Bila aku bergaduh dengan
yang lain, tetap juga aku yang disebat, dilibas. Hatta kalau adik aku yang
menjadi punca perbalahan kami, masih juga ayah mencari aku!’
Aku nekad! Walau apa pun yang jadi kali
ini, aku akan berempat mata dengan ayah. Aku mahukan penjelasan mengapa dia berkeras
melarang aku bermain secara serius dalam bola sepak! Aku tetap dengan
pendirianku kali ini. Walau apapun yang akan jadi, biar ini yang menjadi hala
tuju masa kelakku. Aku sudah letih menanggung beban yang semakin berat untuk
dipikul oleh bahuku yang cacat ini.
Pekatnya malam seolah-olah memberi suatu
petanda buruk yang akan berlaku. Desir anginnya seakan-akan mahu menebang
balak. Adakah ini tanda sesuatu yang buruk akan berlaku? Allah, aku mohon
dijauhkan dari segala musibah yang akan terjadi malam ini. Benarkan kami
bersemuka dengan aman. Biar segala perselisihan antara aku dengan ayah tentang
minatku ini berakhir malam ini dengan tenang. Amin.
***
“ABANG! Apa lagi yang dibuat kat atas tu?
Awak dah lambat ni. Nanti kena marah dengan coach jangan salahkan saya.”
Lamunanku terhenti. Suara isteriku dari dapur menyedarkan aku.
“Barang-barang abang semua saya dah
siapkan. Saya dah letakkan atas rak kasut tu.” Aku bingkas bangun dan bersiap
untuk ke Stadium Bukit Jalil. Hari ini adalah hari yang penting. Hari penentu
siapa yang bakal mencium Piala Suzuki kelak.
Bingkai gambar di tangan ini masih lagi ku
tatap. Insan itulah yang jadikan siapa aku hari ini. Walaupun dahulunya kami
hampir bertegang urat, namun dialah yang mendorongku untuk berjaya pada hari
ini. Kini, semua itu adalah memori. Memori antara minat, harapan dan
kehilangan. Antara ayah dan aku hanyalah masa silam yang cukup pedih untuk
diingat kembali. Semoga dia ditempatkan dengan orang-orang yang soleh.
“Ayah harap kau jaga
diri baik-baik. Minat tetap minat. Tapi, sekali kita terkena musibah, selamanya
minat kita itu akan terpadam. Ayah tak mahu kau jadi seperti ayah. Jadilah yang
lebih hebat! Ayah akan sokong kau walau apapun yang terjadi.” Ini pesan
terakhir ayah. Pesanan yang selamanya tidak mungkin aku lupa. Biras-biras
sebatan ayah dahulu hanya tinggal parut yang tidak tertanggal. Inilah yang akan
aku jadikan bukti kasih sayang seorang ayah kepada anak-anakku nanti.
Aku adalah penjaga gol kebangsaan. Idolaku
adalah ayahku. Aku patah bahu. Dia patah kaki. Kami punya mimpi ngeri. Namun,
itu bukan penghalang siapa aku hari ini. Cerita kami hampir sama. Cuma, aku
kekal dengan minatku dan ayah hilang tanpa bicara. Al-fatihah.
-Ahad 2/3/2014 (01.27p.m.)
-Moga dalam lindungan Ilahi.