Monday, 22 December 2014

Api -Cerpen Pendek-



Hujan tak jua datang
Kuntum-kuntum rembulan sujud
dalam cahaya langit malam
Lagi,
meretakkan bumi kering

“Haih, sampai bila bahang panas ni akan kekal? Aku dah tak boleh tahan dah. Dah dekat sebulan dah cuaca panas macam ni. Kau tengok ni Meran, habis gugur rambut-rambut dibuatnya.” Jat lambai-lambaikan dahannya yang makin penuh dengan dedaun kering.
“Nak buat macam mana Jat, memang tiap-tiap tahun bila masuk saja bulan Julai panas dia lain macam. Bukan kau saja yang rasa.”
Saling berpandangan sesama mereka. Masing-masing setuju dengan apa yang diluah. Makin hari tanah makin kering, mula tunjuk tanda-tanda rekah. Walaupun angin sendalu sering menyapa, masih lagi belum cukup meredakan bahang matahari yang tak bisa dihalang.
            “Aku bukan apa, kita ni dah tua memang lah boleh tahan. Kita tahu apa nak dibuat bila jadi keadaan macam ni. Masalahnya aku kesian dekat pewaris-pewaris kita. Baru saja nak mula pasakkan kaki dah tumbang. Pengsan. Sampaikan ada yang mati lagi.” Mata terisi dengan kesayuan melihat anak-anak pokok yang baru separuh jalan terpaksa rebah lebih awal. Tanah-tanah yang kering dan merekah buatkan mereka tak mampu mencengkam dengan baik.
            “apa lah agaknya nasib tempat ini suatu hari nanti. Makin lama makin kurang penghuninya. Aku rasa kita berdua lah yang paling tua sekarang dalam kelompok ini.”
Jat hanya mampu mengeluh. Nak tolong pun kudrat sudah tak sama seperti dahulu. Sekarang semua sudah panggil dia Tok Meran. Macam itu jugalah nasib Jat. Dua taiko tua yang masih mampu bertahan.
            “Kadang-kadang aku sendiri tak faham kenapa perlu ada musim itu, musim ini. Menyusahkan! Dan aku paling tak faham kenapa perlu ada kemarau? Aku berzikir, meratib tiap-tiap hari kat Tuhan, ini yang dia balas pada kita.” Meran pegang bahu Jat, mengoncang sekuat-kuat hatinya.
            “Hoi, tolol! Yang kau goncang-goncang aku kenapa?  Aku bukan tuhan! Kau nampak kepala aku ni. Kau rasa Tuhan tu macam aku ke? Botak tengah macam ni sampai aku kau goncang-goncang. Sakit tahu!” Biarpun sedari tadi Meran hanya buka telinga mendengar dan melayan keluhan rakannya itu, tapi kali ini dia mula rimas.
            “Hahaha! Ampunkan patik Tok Jat. Patik tidak sengaja buat begitu sampai habis gugur rambut Tok tu.”
            “Jangan menyusahkan aku. Kita sudah lah susah, jangan nak tambahkan masalah pulak. Kalau aku mati tadi macam mana? Kau tu bukannya pandai nak jaga budak-budak kita. Cuma tahu nak buli saja.” Sesekali perlakuan Jat menaikkan angin Meran. Walaupun sudah beberapa kali ditegur tetap saja sama perangainya.
Mereka kembali senyap, berpandangan satu sama lain. Inilah kehidupan mereka sekarang. Makin hari makin suram tanpa ada pewaris-pewaris yang dapat hidup lama. Kemarau ini sememangnya buatkan mereka terasa keperitannya.
Kali ini angin bertiup lebih kuat. Habis semua dedaun kering disapunya.
            “Aku rindu nak mandi bersama-sama. Aku rindu nak lihat air hujan jatuh jadi embun. Dah nak dekat sebulan tak mandi rasa melekit-lekit satu badan. Tak selesa lah Meran.” Kulit-kulit pokok nampak terlalu kering. Pedih melayan sinaran matahari yang membahang. “Aku tahu kita sudah tua, tapi apa salahnya kan aku mahu bergaya? Tapi kalau melekit-lekit macam ni nak bergaya pun jadi malu.”
            “Ya aku faham. Aku pun sama macam kau. Tapi nak buat macam mana lagi? Ini Tuhan yang tentukan. Kun Fa Yakun! Kita cuma mampu berdoa saja Jat.”
            “Ah, berdoa konon! Aku sudah tiap-tiap hari berdoa minta diturunkan hujan. Tidak juga turun-turun. Tiap kali selepas meratib aku akan berdoa semoga kita akan panjang umur dan dimurahkan rezeki, kau tahu?” Jat tinggikan suaranya. Tersentak anak-anak pokok yang lain dalam resah bahang panas yang entah bila akan berakhir. Semua mata tertumpu pada mereka. Walaupun matahari sudah jatuh separa dari bumi. Namun, bahangnya tak pernah susut walau seinci. Sama juga dengan suaranya Jat. Sudah makin meninggi.
            “Ya, aku tahu. Bukannya aku tak nampak. Setiap hari kau berdoa kuat-kuat seolah mahu menunjuk. Aku rasa sebab itu tak makbul doa kau tu. Bongkak!” Meran sendiri sudah naik lemas, sudah masak dengan perangai Jat. Kalau tak menunjuk bukan Jat namanya.
            “Astaghfirullah!”
Angin kencang menerpa membawa bau asap dari seberang. Penglihatan mereka sudah semakin kabur. Anak-anak pokok mula ketakutan.
            “Jaaaaat!” terbeliak.
            “Meraaan, api!”
*****

13/12/2014 22:37
-Ah Li-

Tuesday, 15 April 2014

BATA BATI BATU

Gembira, kecewa, ceria, duka
Tiada apa yang istimewa
Kerana aku hanyalah bata
Yang kosong antara dua muka

Aku adalah bata
Kuat kerana dipapah
Hebat kerana dipimpin
Lemah kerana retak sekeliling

Terasa seolah-olah dunia gelap seketika
Saat kanan dicabut nyawanya
Tika kiri direntap cita cintanya
Apa ada lagi manusia durjana?

Aku ditengah-tengah
Kanan aku penegak
Kiri aku penguat
Keliling aku semua sahabat

Aku adalah bata
Hidup untuk memenuhi cita
Jika datang si durjana
Ah! persetankan dan teruslah ke syurga

Dan aku masih lagi bata
Kukuhkan dua benua
Jalinkan kalung cinta
Pisahkan segenap lara

Bata
Bati
Batu

Kukuh seperti bata
Teguh laksana bati
Keras umpama batu
Terus kekal bata, hanya AKU!

Monday, 3 March 2014

Gol!




Zupp!
            “Kau ni memang tak serik-serik! Dulu lagi ayah cakap ayah tak suka kau main bola! Tengok sekarang ni, bahu yang patah ni kau ingat boleh elok balik!?” Ayah waktu itu sudah seakan-akan singa yang laparkan daging manusia. Wajahnya yang bertukar kemerahan itu ditambah dengan lentikan misai ala-ala koboi buatkan aku tidak berani tatap wajah ayah. Kali ini kepala tali pinggang askarnya pula yang menjadi makanan belakangku. Aku kekal bisu dan kaku. Siapa yang berani melawan tindakan ayah? Aku relakan sahaja diriku mendengar leteran dan sebatan ayah. Hanya diam sahaja caranya bila keadaan sudah parah sebegini.

            “Aku nak kau ni jadi askar. Bukan pemain bola! Tak kemana pun kalau jadi pemain bola. Kau tu anak sulung. Jadilah contoh pada adik-adik! Ini baru patah bahu. Takkan kau nak tunggu sampai patah semua belulang baru nak berhenti bermain? Fikir masa depan kau Along!” Leteran ayah yang hampir dua jam itu buatkan aku terpukul. Mungkin ada benarnya juga omongan ayah itu. Tapi, bola sepak itu minat aku sejak kecil! Takkan itu juga salah?

            Malam itu aku tidak boleh lelapkan mata. Jam loceng sudah tepat menunjukkan pukul dua pagi. Namun, sakitnya badan ini Allah sahaja yang mengerti. Sebenarnya aku masih bingung mengapa ayah bertindak sedemikian. Padahal minat kami pada bola sepak sangat mendalam. Dia seakan-akan seorang jurulatih professional dan aku adalah pemainnya. Ayah cukup terkenal di kampungnya dengan gelecekan dan skillnya yang memukau. Bila sebut sahaja ‘Rahman Libero’, semua orang akan menceritakan pengalaman mereka melihat kehebatan ayah beraksi di atas padang.

            “Kau bila dah besar nanti, jadi penjaga gol yang tangkas. Bukan macam mamat tu. Main pun macam longkang! Anak rimau pun boleh tepis bola tu!” Masih lagi aku ingat kata-kata ayah sewaktu kami menonton bola sepak di stadium suatu masa dahulu. Semangatnya itulah yang menjadikan aku bertambah minat dengan bola sepak hingga kini.

            Sekarang aku jadi bingung. Bingung dengan sikap mendadak ayah ini. Padahal, dahulu dia yang menyuruhku menjadi penjaga gol. Malah, kini aku sudahpun terpilih mewakili negeri dalam MSSN nanti. Apa lagi yang ayah mahu? Tidakkah dia bangga dengan anaknya ini!?

            ‘Ah, Persetankan kata-kata ayah! Aku ingin jadi pemain bola yang terkenal. Biar semua tahu siapa aku suatu hari nanti! Salahkah kalau aku ingin jadi seperti ayah?’ Hanya monolog sahaja yang dapat aku luahkan daripada aku bertegang urat dengan ayah dalam situasi yang sebegini. Luahanku mati. Lenaku tetap tidak tenang kerana bisa sebatan ayah malam tadi. Minyak gamat yang ibu beri juga tidak mampu mengurangkan kepedihan hati aku.

***

Pagi itu kurasa kebas. Seluruh tubuhku seolah-olah digam dengan lekapan yang sangat kuat. Sepertinya, aku tidak boleh ke sekolah hari ini. Bisa sebatan ayah makin mencucuk-cucuk tubuhku. Tetapi, ibadah tetap ibadah. Aku gagahkan diri bangun menunaikan solat subuh walaupun terpaksa duduk. Bahu yang patah ini ditambah dengan bisa sebatan ayah semalam sangat melemahkan jasadku. Cuma, untuk ke sekolah dalam keadaan begini? Malu!

“Ha! apa lagi yang kau terheeh-hegeh tu? Cepat bersiap. Ayah nak hantar adik-adik kamu lagi. Jangan sampai aku sebat lagi sekali!”
“Boleh tak kalau Along tak pergi sekolah hari ini, ayah? Badan tak boleh nak tegak.”
“Apa! Kau ingat aku hantar kau ke sekolah untuk tegakkan badan? Aku suruh belajar! Cari ilmu untuk masa depan. Itu padahnya asyik sangat dengan main bola! Cepat. Aku dah lambat ni!”

Terpaksa jugalah aku bongkokkan diri hari ini ke sekolah. Walaupun satu sekolah tahu bahuku ini patah, tetapi mereka tetap ditipu dengan sebatan ayah. Inilah alasanku kepada sahabat-sahabatku yang lain mengapa aku bongkokkan diri hari ini. Mungkin ini juga salahku kerana tidak berhati-hati semasa lakukan landing pada hari itu.

            Petang itu aku sekadar melihat jiran-jiran bermain bola di padang di hadapan rumah. Kerancakan mereka sama sekali tidak boleh memadamkan otakku yang ligat berlari mencari jawapan. Sesekali, aku membetulkan laras kain yang memangku tanganku. Kali ini, kerusi batu menjadi penemanku. Mentari senja seolah-olah menangisi kepedihanku.

‘Apa yang aku buat semuanya tak kena! Tapi adik-adik aku, sikit pun ayah tidak marah. Tampar pun tak pernah, inikan pula rasa sebatan ayah. Kenapa aku yang selalu jadi mangsa? Bila aku bergaduh dengan yang lain, tetap juga aku yang disebat, dilibas. Hatta kalau adik aku yang menjadi punca perbalahan kami, masih juga ayah mencari aku!’

Aku nekad! Walau apa pun yang jadi kali ini, aku akan berempat mata dengan ayah. Aku mahukan penjelasan mengapa dia berkeras melarang aku bermain secara serius dalam bola sepak! Aku tetap dengan pendirianku kali ini. Walau apapun yang akan jadi, biar ini yang menjadi hala tuju masa kelakku. Aku sudah letih menanggung beban yang semakin berat untuk dipikul oleh bahuku yang cacat ini.

Pekatnya malam seolah-olah memberi suatu petanda buruk yang akan berlaku. Desir anginnya seakan-akan mahu menebang balak. Adakah ini tanda sesuatu yang buruk akan berlaku? Allah, aku mohon dijauhkan dari segala musibah yang akan terjadi malam ini. Benarkan kami bersemuka dengan aman. Biar segala perselisihan antara aku dengan ayah tentang minatku ini berakhir malam ini dengan tenang. Amin.

***

“ABANG! Apa lagi yang dibuat kat atas tu? Awak dah lambat ni. Nanti kena marah dengan coach jangan salahkan saya.” Lamunanku terhenti. Suara isteriku dari dapur menyedarkan aku.

“Barang-barang abang semua saya dah siapkan. Saya dah letakkan atas rak kasut tu.” Aku bingkas bangun dan bersiap untuk ke Stadium Bukit Jalil. Hari ini adalah hari yang penting. Hari penentu siapa yang bakal mencium Piala Suzuki kelak.

Bingkai gambar di tangan ini masih lagi ku tatap. Insan itulah yang jadikan siapa aku hari ini. Walaupun dahulunya kami hampir bertegang urat, namun dialah yang mendorongku untuk berjaya pada hari ini. Kini, semua itu adalah memori. Memori antara minat, harapan dan kehilangan. Antara ayah dan aku hanyalah masa silam yang cukup pedih untuk diingat kembali. Semoga dia ditempatkan dengan orang-orang yang soleh.

            “Ayah harap kau jaga diri baik-baik. Minat tetap minat. Tapi, sekali kita terkena musibah, selamanya minat kita itu akan terpadam. Ayah tak mahu kau jadi seperti ayah. Jadilah yang lebih hebat! Ayah akan sokong kau walau apapun yang terjadi.” Ini pesan terakhir ayah. Pesanan yang selamanya tidak mungkin aku lupa. Biras-biras sebatan ayah dahulu hanya tinggal parut yang tidak tertanggal. Inilah yang akan aku jadikan bukti kasih sayang seorang ayah kepada anak-anakku nanti.

Aku adalah penjaga gol kebangsaan. Idolaku adalah ayahku. Aku patah bahu. Dia patah kaki. Kami punya mimpi ngeri. Namun, itu bukan penghalang siapa aku hari ini. Cerita kami hampir sama. Cuma, aku kekal dengan minatku dan ayah hilang tanpa bicara. Al-fatihah.

-Ahad 2/3/2014  (01.27p.m.)
-Moga dalam lindungan Ilahi.

Thursday, 27 February 2014

Mana Perginya Bunga Negara?

I
Kerna satu negara,
Langkah ku mulakan mencorak dunia,
Berlari ku pergi melukis masa,
Kaku diriku kerana bisanya.

Waktu itu,
Aku lihat sang pejuang bermandi darah,
Aku lihat sang pemikir memerah otak,
Aku lihat sang pendakwah khusyuk beribadah,
Tapi aku kekal kaku menunggu suapan yang sia-sia.


II
Kerana sebuah negara,
Aku melangkah dalam sesak kehidupan,
Aku berlari dalam gelita kejahilan,
Aku melukis dalam sengsara pencarian.

Hari ini,
Aku jumpa perajurit penuh wawasan,
Aku jumpa pentadbir lengkap perancangan,
Aku jumpa ulama' tersemat kelembutan,
Pada mereka aku tagih sebuah ketamadunan.


III
Di bawah langit tuhan aku berjalan,
Mencari sisa ilmu yang bertebaran,
Padanya aku berhenti dengan persoalan,
Mengapa kita masih leka disuap kelalaian?


By: BintangHijau
       - Khamis 01:46p.m. -



 

"ORANG LALAI (DARI PEGANGAN TAUHID), TATKALA DATANG WAKTU PAGI DIA MEMIKIRKAN APA YANG HARUS DIKERJAKANNYA. ORANG YANG BERAKAL (BERTAUHID) MENERIMA PEKERJAAN YANG DITAKDIRKAN ALLAH S.W.T UNTUKNYA."